UCAPAN SELAMAT IDUL FITRI 1444H
1. Mewakili Warga YKS saya merakamkan Ucapan Salam Idul Fitri dengan doa semoga segala amalan kita dalam bulan Ramadan yang bakal berpisah dengan kita diterima dan diganjari Allah SWT dengan sebaik-baik kurnia dan rahmat Nya.
2. Selain itu, kami juga mengambil kesempatan untuk memohon maaf zahir dan batin kepada mana-mana pihak andai kata terdapat kekurangan, kekeliruan dan salah faham yang menyinggung perasaan di sepanjang kita berurusan sama ada secara peribadi atau yang berkaitan hal ehwal YKSNS, lagikan lidah tergigit ini kan pula kita insan biasa yang tidak sunyi daripada salah dan silap.
3. Sekalung budi dan setinggi-tinggi penghargaan kepada para penyumbang yang bersimpati dan menghulurkan sumbangan sekaligus membantu pengurusan kebajikan anak-anak yang mendapat perlindungan kebajikan dan pendidikan bersama YKSNS.
4. Sepanjang bulan Ramadan, kita telah melalui era ibadah dengan tema 'Meraikan Ramadan' demi menyantuni anak anak YKSNS dengan program program ibadah seperti tadarus, tahlil ,yasin harian dan berterawih di samping berbuka puasa dengan juadah yang enak. Jelas terukir senyuman manis tanda kepuasan di wajah anak-anak ini. Sesungguhnya pahalanya melimpah ruah kepada mereka yang memberi makan orang berpuasa.
5. Pengurusan secara khususnya mengucapkan ribuan terima kasih kepada penyumbang yang membantu meringankan beban kewangan YKSNS dengan infaq mereka yang ikhlas tanpa mengharapkan balasan kecuali daripada Allah SWT.
6. Suka saya di sini merakamkan penghargaan kepada YAB Menteri Besar Negeri Sembilan di atas sumbangan setahun sekali Dana NGO ( one off )pada tahun ini berjumlah RM10,000.00. Atas keprihatinan YAB Dato Seri, YKSNS merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih. Sebagai sebuah Pertubuhan Bukan Berasaskan Keuntungan dan menumpukan penjagaan kebajikan kanak-kanak sudah tentu sumbangan ini mempunyai impak yang besar.
7. Tidak ketinggalan juga penghargaan dan terima kasih kepada agensi-agensi lain dan individu yang prihatin untuk membantu kami, semoga mendapat ganjaran sewajarnya daripada Allah SWT.
8. Sebagai sebuah NGO yang sudah beroperasi selama 20 tahun semenjak penubuhan pada tahun 2003, kami dapat mengharungi pelbagai cabaran untuk membesarkan dan menyediakan pendidikan kepada kanak-kanak sehingga mencapai hasrat mereka sebagai pelajar yang cemerlang dalam akademik dan sahsiah.
9. Gerakerja YKSNS ini banyak membantu terutama sebagai pelengkap dan penyokong agensi kerajaan terutama dalam menyediakan kemudahan penginapan dengan asrama berkediaman untuk kanak-kanak dan muallaf.
10. Saya pada kesempatan ini menyeru agensi Zakat agar turut prihatin dengan kebajikan kanak-kanak yang ditempatkan di YKSNS kerana mereka adalah golongan yang layak untuk disantuni dengan Dana Zakat untuk memastikan penjagaan kebajikan, makanan, pakaian dan keselamatan dan tidak tenggelam dengan sikap suka sangka-sangka dan tidak profesional.
11. Semoga Allah SWT sebagai caretaker kita akan mengubati dan merawat kedukaan kami dengan ganjaran pahala dan pertolongan daripada sumber yang tidak disangka-sangka. Kami melangkah dengan niat kerana Allah SWT semoga ALlah SWT senantiasa merezeki kami tidak terbabas daripada landasanNya dan sentiasa melindungi kami dengan kasih sayangNya, mengampunkan dosa-dosa kami. Tiada tempat kami untuk mengadu dan memperihalkan kedukaan kami melainkan kepadaMu Ya Rabb. Lindungilah kami, selamatkan lah kami, kasihanilah kami, pandanglah kami dengan pandangan rahmatMu Ya Allah, Kepada Mu juga kami menyatakan kegembiraan kami kerana memilih kami beriman hanya kepadaMu, walau banyak rintangan dan dukaan, fitnah dan tohmah hati kami tetap bersamaMu.
Rezekikan kami Ya Allah suatu kehidupan yang bahagia bersama keredhaanMu dan akhirkan hidup kami dengan iman dan Islam.
Dr Muhammad Adnan bin Abdullah
30 Ramadan 1444H
21 April 2023